Sunday, 20 August 2017

7 Tip Mudah Turunkan Berat Badan

Kini masalah obesiti atau kegemukan adalah isu kesihatan yang utama di Malaysia. Ia bukan sekadar isu penampilan luaran tetapi yang paling utama, ia meningkatkan risiko kesihatan kerana obesiti berkaitan dengan pelbagai penyakit kronik seperti

  • diabetes 
  • darah tinggi 
  • kanser 
  • sakit jantung koronari 
  • strok dan sebagainya. 
Di sini saya senaraikan beberapa tip mudah yang telah dikongsikan oleh Dr Norman Mohd Norawi bagi membantu menurunkan berat badan dengan cara yang lebih sihat. 


1. Serat @ Fiber

Makan makanan yang mengandungi serat atau fiber yang tinggi seperti buah-buahan, sayur-sayuran, beras perang, roti berserat penuh (wholemeal), chia seed, ubi kayu, keledek, oat dan sebagainya.

Karbohidrat dengan serat tinggi mempunyai indeks glisemik (GI) yang rendah. Ia akan mengawal paras insulin darah dan mengurangkan pengumpulan lemak dalam sel-sel lemak.

Ia juga membantu membakar lebihan lemak dalam sel-sel lemak anda. Jika anda masih suka makan nasi putih, pastikan anda mengambil jumlah sayur-sayuran, ulam-ulaman dan buah-buahan lebih banyak. Serat yang tinggi dalam pemakanan membantu menurunkan berat badan dan mengelakkan masalah sembelit.

2. Lemak Sihat

Ambillah lemak sihat seperti
  • minyak zaitun, 
  • minyak kelapa dara,
  • minyak kelapa sawit merah,
  • minyak ikan. 
Buah avokado juga mempunyai lemak yang sihat. Elakkan daripada mengambil lemak tidak sihat yang mengandungi asid lemak trans seperti marjerin dan krimer yang banyak terdapat dalam makanan proses. 

Kajian menunjukkan pengambilan lemak sihat dapat membantu membakar lemak dalam tubuh badan kita. 

Pengambilan cuka buah juga boleh membantu menurunkan berat badan seperti cuka epal sider, cuka buah tin dan cuka kurma. Satu sudu cuka perlu diambil dengan segelas air untuk mengurangkan rasa masam dan rasa pedih pada perut. 

3. Protein

Ambil lebih protein dalam pemakanan seharian. Makanan tinggi protein terdiri daripada 
  • ikan,
  • tauhu, 
  • tempe, 
  • telur, 
  • daging, 
  • udang,
  • sotong,
  • kekacang. 
Susu dan makanan berasaskan soya juga merupakan sumber protein yang baik. Dengan mengambil lebih protein, kita perlu mengurangkan jumlah karbohidrat sekali gus membantu membakar lemak lebih banyak.

Walau bagaimanapun, pastikan jumlah protein tidak terlalu tinggi iaitu dalam jumlah 1-1.5% daripada berat badan anda. Jika berat badan anda adalah 70kg, maka jumlah protein dalam sehari adalah dalam lingkungan 70 gram hingga 90 gram sehari sahaja.

4. Makanan Ringan

Elakkan mengambil makanan ringan (junk food)  seperti mi segera, keropok, kerepek, biskut, kek, pastri, jajan, dan sebagainya. Ini kerana makanan ringan seperti ini tidak mengandungi zat pemakanan yang lengkap dan hanya mengandungi karbohidrat dengan kalori berlebihan, di samping memiliki pelbagai pengawet dan perasa tiruan yang berbahaya untuk kesihatan.

5. Makanan Tambahan @ Suplemen

Amalkan pengambilan suplemen seperti multivitamin, vitamin C, vitamin E, antioksidan, omega-3, mineral kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium dan lain-lain. Ini membantu mengekalkan sistem metabolism tubuh ke tahap yang optimum.

Banyak kajian telah membuktikan pengambilan suplemen seperti omega-3 boleh menurunkan berat badan.

Baca: Bagaimana Omega-3 Membantu Menurunkan Berat Badan

6. Air Kosong @ Air Mineral

Banyakkan minum air kosong atau air mineral kerana ia membantu membakar kalori berlebihan dalam badan. Malah minuman seperti ini berkalori kosong dan memerlukan kalori untuk diproses dalam tubuh manusia. Kesannya akan menjadikan air sebagai "negatif kalori".

Sentiasalah minum air kosong dan amalkan lapan gelas air kosong dalam sehari. Elakkan minuman manis dan berkarbonat kerana gula dalam minuman mempunyai kalori yang tinggi dan indeks glisemik yang tinggi.

7. Waktu Makan

Jangan sesekali meninggalkan waktu makan. Makanlah sarapan pagi, tengahari dan malam. Pastikan mengambil menu makanan yang sihat mengikut kaedah pinggan sihat iaitu suku pinggan nasi, suku lauk dan setengah pinggan adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan ulam-ulaman.

Jangan berlapar dan meninggalkan makan di waktu makan. Pastikan setiap makanan atau menu yang anda ambil mengandungi gizi yang seimbang iaitu lengkap dengan karbohidrat, lemak, protein, serat dan air.

Mudah-mudahan dengan tip-tip yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu anda memiliki berat badan yang ideal.

No comments:

Post a Comment